26 June 2008

Subuh Hilang Senja



***Sampul Novel Subuh Hilang Senja Edisi Baru***


Sinopsis Novel

BAB 1
1. Mr Hatta, Tan Peng Yeo (Senja), Bujang Muhammad dan Salih Abdul Samad menziarahi Subuh Bin Mahmud di Hospital Universiti. Mereka meninggalkan hospital tersebut lalu pergi makan di pusat makanan di Pasir Panjang.

2. Mr Rodrigues (Naib Pengetua, dan guru Bahasa Inggeris Subuh dan kawan-kawannya) datang menziarahi Subuh. Beliau digelar ‘Gerago’ dan tidak disukai oleh Subuh dan kawan-kawannya kerana bersikap tidak adil apabila menghukum pelajar-pelajarnya.

3. Di hospital, Subuh yang belum sedar-sedar, ditemani bapanya, Pak Mahmud, ibu tirinya, Cik Besar, dan bapa Senja, Tan Peng San. Tan Peng San memuji-muji sikap Subuh yang suka menolong orang lain. Pak Mahmud hiba mengenangkan nasib anaknya yang sering dia abaikan. Mr Rodrigues yang datang berziarah memberi $20.00 kepada Pak Mahmud sebelum beredar.

4. Pak Mahmud dan Cik Besar pulang menaiki van yang dipandu oleh Tan Peng San. Pak Mahmud dirundung rasa kecewa – mengenangkan kisah silamnya sewaktu menjawat tugas sebagai Tuk Penghulu di Pulau Seking. Pak Mahmud memuji-muji Tan Peng San kerana keberuntungan Tang Peng San daripada dirinya sendiri. Perniagaan runcit Tang Peng San kini lebih maju – ‘…kau sudah ada kedai besar, sudah ada van, sudah ada pembantu.’ (ms. 9)

5. Tan Peng San menasihati Pak Mahmud supaya banyak bersabar. Dalam perbualannya, terucap kata –kata seperti ‘…kita berdoalah kepada Tuhan, mudah-mudahan Subuh selamat!” (ms.10). Tan Peng San memberitahu Pak Mahmud bahawa dia sedang belajar untuk menjadi seorang Islam. Tan Peng San juga menghulurkan sedekah $50.00 dan menawarkan pekerjaan sebagai pembantu di kedai runcitnya kepada Pak Mahmud. Pak Mahmud yang masih menganggur didesak oleh isterinya aga menerima sahaja tawaran Tan Peng San itu.

BAB 2
1. Mr. Hatta dan rakan-rakan Subuh yang sedang menghadapi hidangan di pusat penjaja Haw Par Villa, Pasir Panjang. Mereka berbualkan tentang kejadian malam sebelumnya – peristiwa sebab berlakunya Subuh ditikam dan dimasukkan ke dalam hospital.

2. Senja menerangkan peristiwa mereka mematahkan percubaan rompakan atas sepasang kekasih itu termasuk kejadian Subuh ditikam kepada Mr. Hatta.
2.1 Mereka berempat sedang berehat di Science Park setelah membaca buku Ekonomi.
2.2 Sebuah kereta berhenti tidak jauh dari sebuah kereta pasangan kekasih yang cuba dirompak itu.
2.3 Seorang lelaki dan perempuan keluar dari kereta mereka sambil berpeluk-pelukan, mundar-mandir beberapa kali di situ sebelum berhenti di sisi kereta pasangan kekasih tersebut.
2.4 Mencurigai akan kelakuan pasangan yang mundar-mandir itu, Subuh mengajak rakan-rakannya mendekati pasangan-pasangan itu. Subuh dan Senja bergerak di bahagian kanan sementara Bujang dan Sali di bahagian kiri.
2.5 Kereta pasangan perompak itu mendekati tempat mereka tuju dari belakang. Pasangan perompak lalu berkejar ke arah kereta mereka. Subuh menerkam lelaki tersebut lalu berlaku pergelutan. Senja pula cuba menahan perompak perempuan itu tetapi tidak berjaya.
2.6 Keadaan malam yang sungguh kelam itu menyukarkan Senja, Bujang dan Salih mengecam Subuh. Sebelum sempat mereka berbuat apa-apa, perompak lelaki itu berlari ke arah keretanya yang sudah dihidupkan enjinnya.
2.7 Subuh pula terbaring di atas jalan memegang dadanya, bajunya hitam kesan darah. 10 minit kemudian, Subuh dikejarkan ke hospital dengan ambulans.

3. Bujang memberitahu Mr. Hatta bahawa perompak tersebut terdiri daripada 3 orang – seorang sebagai pemandu kenderaan dan seorang lelaki lain dan seorang perempuan pula melakukan rompakan tersebut, Pasangan kekasih yang mereka bantu itu meninggalkan tempat kejadian sewaktu mereka sedang menolong Subuh yang cedera parah.

4. Senja terkenang kembali akan peristiwa malam itu – dia teringat akan pesanan Subuh agar dirahsiakan identiti pasangan yang dirompak, iaitu Mr Rodrigues (naib pengetua maktab mereka) dan Cikgu Roziah (isteri Mr. Husin, guru PE mereka). Subuh meminta Senja berjanji tidak membocorkan maklumat itu.

5. Senja memberitahu Salih dan Bujang akan rahsia tersebut. Salih dan Bujang Senja minta merahsiakan maklumat itu demi menghormati permintaan Subuh yang mahu menyelamatkan maruah guru-guru mereka (Cikgu Roziah dan Mr. Husin), bangsa Melayu dan orang-orang Islam daripada tercemar. Walaupun membenci Mr. Rodrigues, mereka terpaksa merahsiakan maklumat tersebut.

6. Senja memberitahu Mr. Hatta bahawa sesudah itu mereka pergi ke Balai Polis Clementi Town untuk membuat laporan. Mereka melaporkan kejadian itu dan mengaku bahawa mereka tidak dapat mengecam nombor plat kedua-dua kereta yang terlibat.

7. Senja terkenang kembali akan peristiwa malam itu. Dia kesal kerana tidak dapat memberikan maklumat yang sebenarnya dalam laporan mereka demi melindungi identiti Cikgu Roziah. Senja hairan akan sikap Cikgu Roziah yang berlaku curang terhadap suaminya. Senja juga terbayang akan sikap Mr. Rodrigues yang tampan tetapi selalu berat sebelah – ‘apabila mengajar dan bercakap dengan pelajar perempuan begitu lemah-lembut dan berbudi bahasa, tapi apabila bercakap dengan pelajar lelaki selalu menengking-nengking sahaja.’ (ms.10).

BAB 3
1. Senja, Bujang dan Salih berada di Science Park. Salih tidak berpuas hati kerana terpaksa merahsiakan kejadian tersebut kerana dia amat membenci Mr. Rodrigues. ‘… Pedulikan Si Serani itu dapat malu. Aku memang benci dengan dia tu!” sebut Salih (ms.23). Salih juga kedal dengan sikap Mr. Rodrigues yang berpura-pura baik di hadapan Pengetua maktab mereka tetapi sebenarnya seorang yang pemalas – ‘… dua minggu sekali kasi compo, tapi buku kita, tapi buku kita, kertas kita tak pernah dibalikkan.’ (ms.23)

2. Bujang cuba meyakinkan Salih yang mereka terpaksa berahsia tentang kejadian tersebut kerana bukan Mr. Rodrigues sahaja yang terlibat. Memandangkan Cikgu Roziah terlibat sama, Subuh meminta supaya perkara itu dirahsiakan demi menjaga maruah guru dan bangsa Melayu.

3. Bujang juga kesal kerana Mr. Rodrigues telah memecatnya daripada pasukan kadet dan dia juga telah diturunkan pangkat daripada koperal menjadi lans-koperal. Mr. Rodrigues telah bertindak tanpa usul periksa dan mengikut kehendak hatinya sendiri walaupun tiada bukti menunjukkan Bujang bersalah dalam kes kecurian di RI. Bujang telah ke RI untuk melihat ‘camping details’ dan dia dilepaskan oleh guru yang menahannya di RI kerana tiada bukti yang menunjukkan Bujang ke sana untuk mencuri. Walaupun pihak maktab menghukum Bujang, Cikgu Saerah tetap mempercayai akan kejujurannya.

4. Salih pula tidak suka akan sikap Cikgu Saerah yang disifatkannya macam ‘… emak-nenek. Suka berleter saja!’ (ms.26). Salih dileteri Cikgu Saerah kerana selalu tidak menghantar buku karangan di samping sikap Salih yang gemar berdua-duaan dengan pelajar perempuan seperti Munah dan Faridah. Salih menganggap Cikgu Saerah ‘… suka jaga hal orang…’ tetapi Bujang berpendapat Cikgu Saerah bersikap demikian kerana menjalankan tugasnya selaku salah seorang guru disiplin.

5. Bujang juga teringat yang Subuh pernah menyelamatkan dirinya daripada didenda oleh Mr. Hatta. Subuh telah berbohong kepada Mr. Hatta dengan mengatakan dialah yang menaruh berus-berus milik maktab itu yang dilaporkan hilang ke dalam beg Bujang. Bujang sendiri berasa hairan akan berus-berus yang berada dalam begnya. Bujang percaya ada pelajar-pelajar yang sakit hati terhadapnya – supaya dia akan dituduh mencuri barang-barang tersebut. Ini akan membuktikan juga dakwaan Mr. Rodrigues bahawa Bujang seorang pencuri adalah benar.

BAB 4
1. Senja (Tan Peng Yeo) sedang duduk di hadapan Masjid Darussalam. Di dalam masjid para jemaah sedang bersolat dan imam sedang membaca Al-Fatihah. Senja terkenang akan kata-kata Subuh yang menggalakkannya supaya mendirikan salat kerana Senja sudah memeluk agama Islam. Senja telah mengucap dua kalimah syahadah dan disaksikan oleh Ustaz Usman, Subuh dan rakan-rakannya. Bujang menyarankan secara bergurau supaya Tan Peng Yeo memilih nama ‘Senja; sebagai nama Islamnya kerana keakrabannya dengan Subuh. Tan Peng Yeo bersetuju dan kawan-kawannya memanggilnya Senja sejak hari itu.

2. Sena memberitahu Ustaz Usman yang keinginannya untuk memeluk agama Islam adalah atas kesedarannya sendiri, tidak dipaksa oleh sesiapa pun. Dia memberitahu mereka yang dia sudah bergaul dengan orang Melayu (Islam) sejak kecil lagi di Pulau Seking. Begitu juga dengan keluarganya. Cara makanan dan masakan, pakaian dan perbualan pun menggunakan cara-cara orang Melayu. Subuh ialah kawan rapatnya sejak kecil dan mereka umpama adik-beradik.

3. Senja menjelaskan yang dia tertarik dengan agama Islam kerana setiap kali mendengar azan dilaungkan, dia berasa tenang dalam jiwanya. Dia mula merujuk buku-buku agama yang dipinjam dari perpustakaan dan daripada Cikgu Saerah. Sejak itu, dia mulai tertarik hati dengan agama Islam dan tambahan pula, keluarganya tidak mempunyai sebarang pegangan agama.

4. Senja kemudian teringat akan Subuh yang muncul di hadapan rumahnya pada suatu petang kira-kira jam 5. Subuh kelihatan muram. Subuh dengan sikap Senja yang memahami hati kawan-kawannya.

5. Di Science Park, Subuh meluahkan isi hatinya. Dia telah berselisih faham dengan ibu tiri dan bapanya. Ibu tirinya meminta dia menjaga adik-adiknya yang berumur 4 dan 5 tahun. Subuh keberatan kerana dia hendak ke perpustakaan untuk mengulang kaji pelajaran bagi peperiksaannya. Ibu tirinya menuduhnya membuang masa pergi menghendap pasangan kekasih yang sang berasmara dan bukan pergi belajar. Ibunya juga menghina-hinanya dengan kata-kata ‘… tak sedar diri menumpang, tahu-tahu balik hendak makan saja.’ (ms.43). Subuh kemudian dihalaunya dengan kata-kata ‘… kalau tak suka tinggal di rumah, lebih baik berhambus.” (ms.43). Buku-buku Subuh dihumbankan ke luar sehingga ada yang koyak. Ibu tirinya juga mencelanya dengan kata-kata ‘…anak kaki lima tak sedar diri.’ (ms.43).

6. Subuh menentang ibu tirinya dengan mengatakan ibu tirinya kurang ajar. Subuh lalu ditampar oleh bapanya, Subuh kemudiannya menuduh bapanya, Pak Mahmud ‘… orang tua tak sedar diri, kerana dia berkahwin dengan ibu tiriku, emakku sakit hati lalu meninggal…’ (ms.44).

7. Pada malam itu dan beberapa hari sesudah itu, Subuh menginap di rumah Senja buat semenara waktu. Ibu dan bapa Senja berasa belas melihat keadaan Subuh dan membenarkannya menginap di situ buat sementara waktu. Namun, Subuh tidak suka berlama di situ kerana akan menyusahkan Senja sekeluarga. Subuh lebih senang tidur di surau Pasir Panjang daripada menumpang di rumah teman, kakak-kakak atau abang-abangnya.

8. Bujang dan Salih telah selesai bersolat. Mereka menegur Senja yang terlalu banyak bermenung mengenangkan Subuh. Bujang berpendapat yang Senja tidak akan terlalu sangat teringat-ingatkan Subuh jika dia ikut mereka salat bersama-sama.

BAB 5
1. Senja berada di beranda flatnya di tingkat 12 West Coast Road. Dia terkenang akan kisah sewaktu zaman kanak-kanaknya bersama-sama Subuh; bermain-main guli, jelon, kejar-kejar dan apabila air pasang mereka terjun ke laut. Bujang juga ada bersama-sama mereka. Mereka bermain-main dan pergi ke sekolah bersama-sama. Sewaktu mereka di menengah 1, mereka berkenalan dengan Salih. Bapa Salih bekerja di sebuah bank di Orchard.

2. Senja rasa bersalah apabila mengenangkan keadaan Subuh yang terlantar di hospital. Dia menyesal kerana tidak melarang Subuh daripada mencampuri urusan orang lain. Dia sentiasa berdoa supaya Subuh dapat diselamatkan – supaya Subuh dapat melanjutkan pelajarannya ke universiti dan membuktikan kepada Mr. Rodrigues yang mereka anak pulau juga mampu cemerlang dalam pelajaran.

3. Senja dikunjungi Mr. Rodrigues. Dia kurang senang dengan kehadiran Mr Rodrigues yang pernah merotannya dengan kawan-kawannya kerana mereka tidak turun bermain bola sewaktu pasukan maktabnya menentang maktab lain.

4. Senja memberitahu Mr. Rodrigues yang dia tahu kehadiran Mr. Rodrigues dengan Cikgu Roziah di Science Park pada malam kejadian Subuh ditikam. Senja menyatakan bahawa Subuh yang nampak mereka berdua dalam kereta. Subuh yang memberitahunya sebelum Subuh jatuh pengsan. Senja kesal kerana Mr. Rodrigues tidak membantu menyelamatkan Subuh yang cedera parah setelah cuba membantunya. Mr. Rodrigues mengatakan yang dia ‘… sangat-sangat menyesal kerana tidak dapat berbuat apa-apa…’ (ms.50).

5. Senja menempelak gurunya kerana penyesalan Mr Rodrigues itu sudah terlambat kerana Subuh telah kehilangan banyak darah dan masih dalam koma. Mr. Rodrigues memohon pertolongan Senja dan kawan-kawannya untuk merahsiakan identitinya dan Cikgu Roziah daripada pengetahuan pihak polis. Senja memberitahu Mr. Rodrigues bahawa mereka telah melaporkan kepada polis yang mereka tidak mengenali pasangan dan nombor plat kereta mereka juga kerana tidak dapat melihat dengan jelas kerana keadaan begitu gelap.

6. Mr. Rodrigues lega mendengarkan penjelasan Senja. Dia tidak menyangka bahawa Subuh mempunyai hati yang baik. Senja menempelaknya dengan kata-kata ‘… Itulah Sir… kita tidak boleh pandang orang selalu rendah. Dalam kerendahan manusia ada sifat mulianya yang kita tidak tahu, sebaliknya dalam ketinggian manusia biasanya ada sifat syaitannya pula!’ (ms.53).

7. Mr. Rodrigues walaupun berasa sakit hati mendengar akan sindiran Senja itu, dia terpaksa bersabar kerana memerlukan pertolongan mereka untuk menutup mulut. Dia berkeras agar Senja menerima wang $100.00 untuk dibahagi-bahagikan sesama dua orang rakannya yang lain. Pemberian itu sebagai tanda terima kasihnya dan berharap Senja dan rakan-rakannya akan menyimpan rahsia yang mereka tahu.

8. Senja berbohong kepada bapanya dengan mengatakan Mr. Rodrigues memberi duit kepadanya sebagai upah. Upah kerana dia dan rakan-rakannya ada menolong Mr. Rodrigues mengangkat barang-barang di sekolah dan di rumahnya. Senja bercadang memberitahu Bujang dan Salih tentang kunjungan Mr. Rodrigues ke rumahnya. Senja juga berhasrat untuk memulangkan wang tersebut kepada gurunya esok.

BAB 6
1. Senja berada di dalam bas. Duit $100.00 yang diberi Mr. Rodrigues ada dalam sakunya. Dia teringat akan peristiwa Mr. Rodrigues mengumumkan kepada semua pelajar dalam terhimpun maktab mereka yang Subuh, Senja, Bujang dan Salih menunjukkan sikap tidak setia kepada maktab mereka kerana ponteng latihan bola sepak. Akibatnya, pasukan maktab mereka seri dalam perlawanan sedangkan peluang mereka untuk menang cerah. Sebagai hukuman, Subuh dan kawan-kawannya dikenakan hukuman sebat 3 rotan setiap seorang. Mereka juga digugurkan daripada pasukan bola sepak maktab.

2. Senja bertemu Bujang di stesen MRT Clementi. Senja memberitahu Bujang tentang duit pemberian Mr. Rodrigues. Bujang menyarankan agar mereka memulangkan duit Mr. Rodrigues kerana sedari mula mereka telah bersetuju dan berpakat untuk merahsiakan maklumat peristiwa malam itu. Oleh itu, mereka sependapat bahawa Mr. Rodrigues tidak perlu menyogok mereka dengan wang.

3. Bujang membayangkan reaksi Salih tentang pemberian wang itu. Salih pasti berkeras menyuruh mereka menyimpan wang tersebut kerana bimbang Mr. Rodrigues akan menghukum mereka dengan menyebat mereka sekali lagi di atas pentas sekolah di hadapan khalayak pelajar-pelajar lain maktab itu sekiranya wang itu dikembalikan.

BAB 7
1. Di bilik guru, Cikgu Saerah dan Mr. Hatta sedang sibuk menyemak buku-buku pelajar-pelajar mereka. Mr. Ghazali memberitahu mereka berdua bahawa berita tentang Subuh dan tiga orang rakannya mematahkan percubaan merompak sepasang kekasih di Science Park, tersiar di dada akhbar. Berita tersebut juga melaporkan Subuh telah tertikam di bahagian atas perutnya dan kini di hospital dalam keadaan koma.

2. Guru-guru yang berada di situ membincangkan tentang Subuh dan kawan-kawannya yang berada di Science Park pada malam kejadian tersebut. Mr. Ghazali berseloroh bahawa Subuh dan kawan-kawannya sedang menghendap pasangan-pasangan yang sedang berasmara. Namun, Mr. Hatta mempertahankan pelajar-pelajar itu kerana menurutnya, adalah tidak adil menuduh Subuh dan kawan-kawannya sedemikian tanpa bukti. Mr. Danny Koh juga menyokong dengan mengatakan Subuh dan kawan-kawannya pelajar-pelajar yang baik. Mr. Danny Koh mengajar mereka sejak di peringkat menengah dua.

3. Mr. Ghazali menimbulkan kes Subuh dan kawannya disebat kerana tidak mengutamakan maktab mereka. Alasan mereka beri kerana tidak hadir latihan bola adalah – tak ada wang tambang untuk pergi ke maktab, terpaksa bekerja sambilan untuk mencari duit tambahan bagi perbelanjaan pengajian di Kolej Elite Bebas itu.

4. Cikgu Saerah pula mengingatkan yang lain bahawa sejak di ‘junior school’, Subuh dan kawan-kawannya telah menaikkan nama maktab khususnya dalam lapangan sukan bola sepak. Oleh itu, adalah tidak adil mereka dituduh tidak taat kepada maktab mereka. Cikgu Saerah juga memberitahu guru-guru lain yang Subuh tidak pernah mendapat wang saku dan sebagainya daripada bapanya. Subuh terpaksa bekerja sambilan di pusat penjaja setiap hari selepas waktu sekolah untuk mencari duit belanja bagi dia gunakan untuk meneruskan pengajiannya di maktab tersebut.

5. Cikgu Saerah juga melahirkan kekecewaannya terhadap sikap pengetua maktab mereka yang sentiasa menyebelahi Mr. Rodrigues, naib pengetuanya walaupun Cikgu Saerah memohon agar kes Subuh dan kawan-kawannya itu disiasat dengan teliti sebelum mereka dihukum.

BAB 8
1. Senja, Bujang dan Salih berada di padang maktab mereka, selepas latihan jasmani. Senja memberitahu Salih tentang kedatangan Mr. Rodrigues ke rumahnya dan wang $100.00 yang diberi untuk mereka berempat. Salih berpendapat mereka simpan sahaja wang tersebut kerana mereka sudah berpakat untuk tidak membocorkan rahsia hubungan Mr. Rodrigues dan Cikgu Roziah. Dia menegaskan bahawa mereka boleh menyerahkan wang tersebut bagi kegunaan persatuan bahasa sekolah jika mereka enggan menggunakannya.

2. Senja kurang bersetuju kerana khuatir akan tindakan mereka itu akan disalah anggap oleh guru-guru lain dan para pelajar maktab itu. Mereka akan dituduh sanggup menutup mulut mengenai rahsia Mr. Rodrigues itu setelah disogok sebanyak $100.00.

3. Salih naik berang mendengar pandangan Senja kerana baginya, tiada gunanya mereka merahsiakan perkara tersebut jika pada akhirnya akan terbongkar juga. Senja menegaskan bahawa jika rahsia itu terbongkar juga akhirnya, itu bukan urusan mereka lagi kerana bukan mereka yang membocorkan rahsia itu.

4. Senja memujuk Salih supaya bersabar dalam mengatasi masalah yang mereka hadapi itu kerana tidak bererti mereka kalah walaupun mereka bersabar. Salih akhirnya akur dengan nasihat Senja dan dia menurut sahaja keputusan mereka asalkan mereka tidak dirotan lagi di atas pentas.

5. Senja bercadang menziarahi Subuh di hospital pada petang itu untuk memberitahu Subuh perkembangan tersebut. Dia yakin yang Subuh akan sependapat dengan mereka – memulangkan duit Mr. Rodrigues.

6. Mr. Husin, suami Cikgu Roziah yang mengajar mereka latihan jasmani, meminta Senja memeriksa perkakas PE yang para pelajar gunakan. Senja berasa kasihan melihat Mr. Husin yang dipermainkan oleh isterinya, Cikgu Roziah yang menjalin hubungan sulit dengan Mr. Rodrigues. Pada ketika itu pula, isterinya sedang berbual-bual mesra dengan Mr. Rodrigues di telefon. Mr. Rodrigues meyakinkan kekasihnya yang dia telah meminta Senja dan kawan-kawannya merahsiakan hubungan mereka dan peristiwa pada malam itu. Mr. Rodrigues hanya berasa bimbang akan sikap Bujang dan Salih yang dia anggap sebagi pendendam. Mr. Rodrigues berpendapat sedemikian kerana dia pernah merotan kedua-dua orang pelajar itu di atas pentas kerana mereka tidak menghadirkan diri sewaktu perlawanan pasukan bola sepak maktab mereka.

BAB 9
1. Cikgu Serah dan Mr. Hatta bercadang menziarahi Subuh di hospital pada petang itu. Mr. Rodrigues masuk ke bilik guru dan memaklumkan bahawa pegawai polis akan datang ke sekolah meminta keterangan daripada Senja, Bujang dan Salih. Guru-guru itu berasa hairan memikirkan pelajar-pelajar mereka itu tidak mencatatkan nombor plat kedua-dua kereta yang terlibat dalam kejadian itu.

2. Di bilik pengetua, Mrs. Teo Lam Tay dan Mr. Rodrigues sedang memerah otak mencari ikhtiar bagi ‘... keselamatan peribadi Mr. Rodrigues dan nama baik Maktab Bebas Elite.’ (ms.97). Mr. Rodrigues meyakinkan Mrs. Teo bahawa dia telah bertemu Senja. Senja telah memberinya jaminan yang rahsia pembabitan Mr. Rodrigues dan Cikgu Roziah pada malam itu tidak akan dibocorkan. Senja memberi jaminan bahawa rakan-rakannya juga akan melakukan perkara yang sama.

3. Mrs. Teo ragu-ragu akan tindakan Senja dan kawan-kawannya untuk merahsiakan pembabitan Mr. Rodrigues dan Cikgu Roziah itu dalam kejadian tersebut. Menurut Mrs. Teo, ‘... bolehkah kita percaya kepada mereka yang berlainan kulit dengan kita?’ (ms.98). Mr. Rodrigues meyakinkan ketuanya yang Subuh disifatkan sebagai ketua dalam kumpulan pelajar-pelajar berempat itu. Maka, Senja sebagai orang kanan Subuh dan kedua-dua orang rakannya yang lain akan menurut permintaan Subuh agar mereka menjaga nama baik guru-guru dan maktab.

4. Mr. Rodrigues juga menegaskan bahawa jika mereka tidak menghukum pelajar-pelajar itu maka rahsianya tidak akan terbongkar kerana Salih takut dihukum di hadapan khalayak pelajar lain dan juga takut akan kemarahan bapanya sendiri. Mr. Rodrigues juga mendedahkan bahawa dia tahu bahawa Bujang tidak mencuri di RI dan tidak pernah menggaris kereta kepunyaannya walaupun telah dihukum. Menurutnya, Bujang amat taat kepada Subuh dan Senja kerana mereka datang dari pulau yang sama.

5. Mrs. Yeo lega mendengar penjelasan Mr. Rodrigues. Dia tidak menyangka bahawa Subuh dan rakan-rakannya adalah pelajar-pelajar yang baik dan taat kepada Maktab.

BAB 10
1. Senja, Bujang dan Salih di luar bilik pengetua maktab. Salih bimbang akan disebat kerana berada di Science Park pada malam tersebut. Dia khuatir peristiwa itu dinilai oleh pengetua maktabnya sebagai perbuatan yang memalukan maktab kerana mereka berada di sana pada waktu malam sedangkan mereka sepatutnya berada di rumah atau di perpustakaan mengulang kaji pelajaran. Salih juga teringat akan kemarahan bapanya yang melarang dia berkawan dengan Subuh, Senja dan Bujang yang dianggap sebagai pengaruh negatif atas dirinya.

2. Senja pula terkenang akan Subuh yang masih terlantar di hospital. Dia berdoa dalam hatinya supaya Subuh segera sembuh dan dapat meneruskan pelajarannya. Senja mahu Subuh mencapai cita-citanya masuk ke Universiti Nasional Singapura (NUS) dan membuktikan kepada guru-guru dan kawan-kawan mereka yang lain bahawa ‘... anak pulau tidak kalah dengan anak tanah besar, anak kota, anak orang kaya.’ (ms.103).

3. Senja juga cuba menenangkan Salih yang dilanda keresahan. Senja mengingatkan Salih akan peristiwa dua tahun lalu sewaktu mereka masih di menegah empat. Mereka telah diserang oleh sekumpulan remaja Cina di pusat penjaja. Walaupun remaja Cina tersebut terdiri lebih daripada 10 orang, Subuh menasihati kawan-kawannya agar jangan gentar dan usah melarikan diri. Sali tercerdera di kepalanya dan bersembunyi di salah sebuah gerai di situ manakala Subuh, Senja dan Bujang terus mempertahankan diri mereka. Berbekalkan ilmu pertahanan diri yang mereka tuntut sewaktu tingal di Pulau Seking, mereka bertiga berjaya mengalahkan remaja-remaja itu yang akhirnya lari meninggalkan pusat penjaja itu sebelum ketibaan pihak polis.

4. Senja, Bujang dan Salih disuruh masuk ke bilik pengetua maktab. Mrs. Teo mengenalkan mereka kepada Inspektor Bakar. Inspektor Bakar terus menyoal siasat mereka berhubung kejadian malam Subuh ditikam. Beliau bertanyakan nombor plat kereta pasangan muda yang telah mereka bantu. Senja memberitahu yang dia nampak nombor plat tersebut tetapi lupa mencatatnya kerana dia panik melihatkan Subuh yang terbujur dengan badan berlumuran darah. Bujang juga memberitahu hal yang sama kerana tumpuan mereka pada waktu itu hanyalah untuk menyelamatkan sahabat mereka, Subuh yang cedera parah. Tambahan pula, menurut Bujang, ‘... Lampu kereta itu tidak hidup dan kereta itu berada di tempat yang gelap.” (ms.108).

5. Salih pula meluahkan perasaan marahnya terhadap pasangan yang lari meninggalkan tempat itu walaupun telah ditolong. Katanya, ‘... Saya memang marah kepada mereka. Saya memang dendam kepada mereka. Saya mesti beritahu nombor plat kereta itu...! (ms.109). Kata-kata Salih itu membuat rakan-rakannya berdebar-debar, termasuk Mr. Rodrigues yang menyumpah-nyumpahnya dalam hati – ‘... Jahanam budak celaka ni!’ (ms.109). Namun demikian, Salih menyambung dengan kata0kata, ‘... Tapi... sayang, saya tak tahu!’ (ms.109).

6. Pengakuan Salih itu melegakan Senja dan Bujang, dan terutama sekali Mr. Rodrigues yang begitu khuatir akan rahsianya itu terbongkar. Mereka keluar dari bilik pengetua maktab dengan melayan fikiran masing-masing. Senja memberitahu Bujang dan Salih bahawa dia ingin menziarahi Subuh di hospital kerana kata, ‘...Aku tidak sedap hati! (ms.110).

BAB 11
1. Mr. Hatta dan Cikgu Saerah berada di kantin maktab. Mr. Hatta berpendapat Senja dan rakan-rakannya ada menyembunyikan sesuatu. Dia juga musykil akan reaksi Mr. Rodrigues yang tidak mengutuk perbuatan Subuh serta rakan-rakannya di Science Park pada malam tersebut. Biasanya, Mr. Rodrigues ialah orang yang pertama ‘... yang menghentam habis-habis fasal moral budak-budak tu.’ (ms.112). Mr. Hatta mendapati reaksi Mr. Rodrigues mengenai kejadian itu agak ganjil dan ‘... macam ada yang tak kena saja.’ (ms.112). Cikgu Saerah pula berhasrat untuk bertanya Senja dan kawan-kawannya kalau-kalau mereka ada menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan guru-guru.

2. Senja dan Bujang memberitahu Cikgu Saerah yang mereka tidak dapat menghadiri pertandingan bahasa pada hari itu kerana mereka hendak pergi ke hospital. Menurut Bujang, sewaktu dia menelefon ke rumah Subuh untuk bertanya khabar, Pak Mahmud dan Cik Besar telah pergi ke hospital tergesa-gesa kerana Subuh dikatakan dalam tenat. Cikgu Saerah membenarkan mereka pergi dan meminta mereka memberitahunya tentang perkembangan keadaan Subuh.

3. Mr. Ghazali bertengkar dengan Mr. Hatta dan Cikgu Saerah tentang pemecatan Subuh daripada pasukan bola sepak maktab mereka. Mr. Hatta berpendapat yang politik negara tidak ada bezanya dengan politik maktab. Manusia tidak bebas melakukan sesuatu tanpa perasaan khuatir akan berlaku sesuatu kepadanya. Mr. Ghazali berasa tercabar kerana Mr. Hatta seakan-akan menuduhnya memecat Subuh kerana takut akan Mr. Rodrigues.

4. Mr. Hatta seterusnya menambah bahawa dia dan Cikgu Saerah dipecat daripada Jawatankuasa Tatasusila Pelajar kerana mereka berdua mengundi untuk menentang pemecatan Subuh. Cikgu Saerah merujuk tiga kes lagi yang melibatkan guru yang digugurkan daripada jawatankuasa itu dalam tahun pemilihan baru. Cikgu Saerah menegaskan yang, ‘... manusia itu semuanya sama. Pemimpin politik atau pemimpin sesuatu institusi di mana sekalipun di dunia ini, apabila mereka sudah mempunyai ‘kekuasaan’, mereka akan menggunakan ‘kekuasaan’ itu untuk menindas lawannya. Dan setiap lawan mesti dimusnahkan.... Jadi kejujuran dan keadilan di dunia ini sebenarnya tidak ada. Kalau ada hanya pseudo atau palsu saja...’ (ms.117).

5. Mr. Hatta, Cikgu Saerah dan Mr Balasundram berpakat untuk menziarahi Subuh pada petang itu.

BAB 12
1. Mr. Hatta, Cikgu Saerah dan Mr. Balasundram sampai di National University Hospital (NUH) kerana mendapat panggilan telefon daripada Bujang yang memberitahunya keadaan Subuh yang sudah kian tenat dan tiada harapan untuk sembuh kerana masih belum sedar-sedar daripada koma.

2. Sewaktu mereka sampai di Wad 45, Pak Mahmud dan ibu tiri Subuh, Cik Besar berada di situ. Pak Mahmud memeluk Mr. Hatta dan menangis tersedu-sedan. Pak Mahmud memberitahu guru-guru itu bahawa Allahyarham Subuh sudah meninggal dunia pada jam 6.10 petang itu. Tubuh Subuh sudah ditutup dengan kain selimut. Mr. Hatta menyingkap selimut putih tersebut. Cikgu Saerah, Mr. Balasundram dan beberapa orang lain yang beradai di situ berkesempatan menatap wajah Allahyarham yang kelihatan ‘... tenang dan senyum seperti dia sedang tidur nyenyak layaknya.’ (ms.124). Tidak lama kemudian, jururawat dan petugas hospital datang untuk membawa jenazah Subuh ke morgue. Mr. Hatta menahan mereka daripada menyorong jenazah Subuh pergi. Mr. Hatta kemudian bergegas ke bilik doktor yang bertugas.

3. Bujang terkenang akan kata-kata Subuh sewaktu dituduh Mr. Rodrigues tanpa usul periksa dalam kes kecurian di RI. Bujang dipecat dengan tidak semena-mena. Subuh melarang Bujang membalas dendam. Bujang dalam perasaan geramnya mahu membocorkan tayar atau menggaris-garis kereta Mr. Rodrigues sebagai membalas dendam. Subuh mengingatkannya bahawa perbuatan sedemikian hanya akan mengundang terus kemarahan Mr. Rodrigues dan tidak akan menyedarkan ‘Si Gerago’ itu akan kesalahannya. Sebaliknya, tindakan yang buruk itu akan mengkibatkan pelajar-pelajar yang tidak bersalah didenda kerana kemarahan Mr. Rodrigues. Bujang berkata di dalam hatinya bahawa Subuh terlalu baik tetapi tidak panjang umurnya; sebaliknya, ‘... manusia seperti Gerago yang gila dan macam syaitan itu tidak diambil-Nya segera!’ (ms.125).

4. Senja pula teringat kata-kata Subuh yang penuh bersemangat. Kata Subuh, ‘... aku mahu menunjukkan bahawa orang miskin macam aku, boleh belajar sampai universiti supaya orang Melayu yang miskin macam aku ada kemahuan untuk belajar terus... dan yang penting aku tak akan bekerja selepas tamat universiti.’ (ms.126). Subuh menyuarakan hasrat hatinya untuk menjelajah dunia untuk mencari pengalaman hidup. Dia banyak membaca tentang orang-orang terkenal yang banyak mengembara. Begitu juga dengan siswazah dari Eropah dan Amerika yang mengembara selepas lulus dari universiti dan ‘mereka banyak mempelajari cara hidup atau antropologi orang-orang Asia.’ (ms.126). Siswazah-siswazah ini akhirnya mendapat pengetahuan yang tidak terdapat di mana-mana buku pun.

5. Senja berjanji kepada dirinya yang dia akan meneruskan cita-cita Subuh, ‘... percayalah Subuh, di depan mayat kau ini aku berjanji dan semoga Tuhan memberi bantuan dan kekuatan untuk aku melakukannya!’ (ms.127)

6. Salih pula sambil memegang kaki jenazah Subuh yang tegang itu melafazkan ucap maaf dalam hatinya kerana sering menuduh Subuh sebagai pengecut. Kini, dia insaf betapa Subuh sebenarnya seorang yang berani. Salih terus merintih dalam hatinya. Hatinya begitu bergelora mengenangkan nasib malang kawan akrabnya yang baru meninggal. Salih sedar bahawa ‘... kerana keberanianmu Subuh... kau telah menjadi korban, Kau sebenarnya memang seorang ketua.’ (ms.127).

7. Salih mengumpamakan sahabatnya itu sebagai seorang pemimpin ‘... atau ketua yang berani berkorban kedudukan, berani berkorban tenaga, berani berkorban nyawa.’ (ms.127). Sebaliknya, Salih menganggap dirinya ‘... pengecut yang bodoh yang tak mengenal mutiara dan manikam.’ (ms.127). Salih seterusnya memohon maaf atas segala kesilapannya terhadap Subuh dan memaafkan kesilapan Subuh terhadapnya dan menghalalkan segala-galanya. Salih juga teringat akan kata-kata perangsang Subuh kepadanya supaya mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang doktor. Kata-kata Subuh ‘... Tolonglah anak-anak yang lemah dan belajarlah rajin-rajin supaya cita-cita kau tercapai dan ertinya cita-cita kita bersama tercapai juga!” (ms.128). Hati Salih kecut mengenangkan suara Subuh dengan kata-kata itu.

8. Cikgu Saerah pula terharu mengenangkan peristiwa Subuh berjumpanya. Subuh begitu keberatan untuk mengatakan yang dia tidak berwang untuk melunaskan yuran peperiksaan. Setelah dipujuk Cikgu Saerah, Subuh akhirnya mengaku bahawa ‘... bapa saya tak pernah kasi saya duit, Cikgu. Saya cari sendiri pada sebelah petang atau malam. Saya bekerja di Haw Par Villa Food Centre, dapatlah tiga empat dolar satu malam dan ditambah dengan saya mencuci kereta guru-guru... itulah yang saya gunakan untuk tambang, buku dan membayar yuran maktab.’ (ms.128). Mendengarkan penjelasan Subuh, Cikgu Saerah dengan ikhlas memberitahu Subuh bahawa beliau akan melunaskan yuran peperiksaan Subuh. Kata Cikgu Saerah ‘... Lupakan bayar balik, Cikgu hadiah pada awak yang jujur dan baik! Ingat belajar bersungguh-sungguh sudah!” Subuh yang begitu tersentuh dengan kemuliaan dan kemurahan hati gurunya telah mencium tangan gurunya sambil menangis. Subuh teresak-esak ketika itu dan memberitahu Cikgu Saerah yang dia terkenang arwah ibunya yang sentiasa memberinya nasihat yang serupa.

9. Pak Mahmud dan Mr. Hatta kemudian muncul semula. Mr. Hatta memberitahu semua yang hadir bahawa jenazah Subuh sudah boleh dibawa pulang setelah beliau berjaya menjelaskan kepada ketua doktor yang bertugas sebab kematian Subuh itu. Oleh itu, jenazah Subuh tidak perlu ditahan untuk dibedah siasat. Cikgu Saerah melahirkan kesyukuran mendengarkan penjelasan itu.

10. Guru-guru yang berada di situ beredar dari hospital dan berjanji akan melayat jenazah Subuh di rumahnya pada malam tersebut.

BAB 13
1. Senja, Bujang dan Salih terus pergi ke rumah Subuh dari hospital. Cikgu Saerah dan suaminya telah tiba di rumah Subuh begitu juga Mr. Hatta. Tidak lama kemudian, Mr. Husin tiba bersama-sama isterinya, Cikgu Roziah. Kemudian diikuti pula dengan pengetua maktab mereka, Mrs. Teo dan Mr. Rodrigues. Mrs. Teo menghulurkan sebuah sampul surat yang berisi kepada Pak Mahmud. Senja, Bujang dan Salih kurang senang melihat kehadiran Mr. Rodrigues yang ‘... pandai berpura-pura’ manakala Cikgu Roziah pula mereka sifatkan sebagai ‘... seolah-olah alim, dengan tudung lingkup dan dengan sopan pula’ tetapi ‘... lebih licin daripada belut! Lebih bisa daripada ular!’ (ms.133).

2. Kelihatan jenazah Subuh tersenyum seperti selalu, ‘... seperti waktu hidupnya yang sentiasa suka senyum.’ (ms.134). Cikgu Saerah yang bersama suaminya ketika itu, melafazkan dalam hati yang dia menghalalkan ‘... segala wang yang telah Cikgu bayarkan untuk duit periksa dan duit maktab, dan cikgu maafkan segala kesilapan Subuh.’ (ms.134). Beliau juga memohon maaf atas kesilapannya terhadap Subuh.

3. Cikgu Yaakub memberitahu guru-guru yang berada di rumah Subuh yang pengetua mereka telah membenarkan para pelajar maktab untuk melayat Subuh selepas waktu rehat.

4. Cikgu Saerah bercerita dengan guru-guru yang lain akan peristiwa Subuh datang bertemu dengannya meminta maaf kerana ‘memalukan nama anak Melayu kerana saya telah menghampakan harapan Cikgu kepada saya’ berikutan kejadian Subuh dan kawan-kawannya dihukum kerana tidak menghadiri perlawanan pertandingan bola sepak pasukan maktab mereka. (ms.136). Cikgu Saerah juga memberitahu bahawa Subuh meluahkan hasrat hatinya untuk bertukar sekolah di tempat lain. Subuh juga meluahkan rasa sayangnya terhadap Cikgu Saerah. Kata Subuh, ‘Saya suka Cikgu... saya sayang Cikgu macam kakak saya, macam emak saya! Walaupun saya pindah ke tempat lain, saya tetap akan jumpa Cikgu.’ (ms.137).

5. Mr. Hatta pula terkenang hujah Subuh yang berkobar-kobar sewaktu di kelas sastera Inggerisnya. Subuh begitu serius memikirkan tentang ‘... cara orang sekarang yang terlalu berkeras mempelajari ilmu dunia... tapi kita lupa dan kurang hendak mempelajari tentang diri kita sebagai umat Tuhan.’ (ms.138). Mr. Hatta memberitahu yang Subuh kelihatan begitu serius walaupun rakan-rakan darjahnya yang lain ketawa. Menurut Mr. Hatta, Subuh seolah-olah ‘mengetahui sesuatu yang akan terjadi pada dirinya!” (ms.138).

6. Senja walaupun terkial-kial, membaca surah Yasin dalam tulisan rumi. Dia terus membaca dengan taat di depan jenazah teman akrabnya. Fikirannya pula menggelembung, mengenang temannya yang sudah menjadi arwah.

BAB 14
1. Jenazah Subuh diusung oleh Senja, Bujang, Salih dan beberapa orang pelajar maktab yang datang, Pak Mahmud meminta Mr. Hatta memberi ucapan penghormatan terakhir. Mr. Hatta antara lain memberitahu kepada semua orang yang hadir bahawa Subuh ‘... seorang pelajar yang santa hormat kepada guru dan rakan pelajar. Seorang pelajar yang kuat semangat untuk mendapatkan ilmu, Hari ini terbukti dengan berusaha sendiri mengongkosi dirinya membayar yuran maktab, tambang dan lain-lain keperluan hidup.’ (ms.141). Menurut Mr. Hatta, Subuh juga perlu dijadikan contoh oleh pelajar-pelajar yang tidak mampu, bahawa untuk belajar sambil berusaha mengongkosi diri tidak menjadi halangan. Selain itu, Subuh juga ‘... seorang pemain bola sepak sekolah dan maktab yang cukup dedikasi.’ (ms.141). Mr. Hatta seterusnya menekankan yang ‘kematian Subuh walaupun sudah takdir Allah, akan tetapi berpunca daripada kegigihannya untuk menolong orang yang tidak dikenalinya daripada terkorban dirompak tanpa mempedulikan keselamatan dirinya sendiri. Malangnya, orang yang ditolongnya itu meninggalkan Subuh yang banyak kehilangan darah...’ (ms.142).

2. Sewaktu mengiringi jenazah Subuh ke Pusara Aman, Senja teringat akan Subuh menceritakan kepadanya peristiwa dia ditawarkan wang sebanyak $50.00 setiap bulan sebagai upah bagi melaporkan kepada seorang pegawai pemerintah tentang hal-ehwal pelajar-pelajar dan guru-guru maktab. Walaupun Subuh memerlukan wang, dia telah menolak tawaran tersebut dengan alasan ‘... aku ada banyak kerja maktab dan tak ada masa untuk memerhatikan aktiviti pelajar dan guru...’ (ms.144). Senja kagum dengan pendirian Subuh dan menyifatkan sahabatnya itu sebagai ‘... cekal hati, walaupun terdesak tapi kau tidak mudah dibeli oleh sesiapa.’ (ms.144).

3. Salih pula memetakan wajah Subuh di dalam benaknya. Dia menganggap Subuh sebagai sahabatnya sampai mati. Dia kesal akan ibu bapanya sering tersalah tanggap watak Subuh dan sering melarangnya berkawan dengan Subuh. Namun bagi Salih ‘... kau sahabatku yang jujur.’ (ms.145).

4. Bagi Bujang pula, Subuh ‘... seorang manusia yang tidak pernah menceritakan keburukan orang lain... ketika mendengar orang bercerita tentang keburukan orang lain, kau diam... kau tidak menambah atau mengurangi. Walaupun orang itu musuh ketat kau seperti Si Gerago keparat tu... kau macam malaikat, kau benar-benar malaikat, Subuh.’ (ms.146).

5. Tan Peng San pula menyuruh Pak Mahmud bersabar mengenangkan nasib malang Subuh. Fikiran Pak Mahmud bergelojak. Dia memohon maaf kepada arwah isterinya Munah, ‘Aku telah mensia-siakan hidup Subuh selama ini. Dia anak yang baik. Kau maafkan aku ya, Munah!’ rintih hati Pak Mahmud.

6. Senja, Bujang dan Salih mengiringi jenazah Subuh hingga ke liang lahad hingga jenazahnya selamat dikebumikan. Di atas kubur Subuh, Senja berjanji dia akan meneruskan cita-cita Subuh untuk menjelajah dunia dan mencari ilmu pengetahuan. Dia juga ingin meneruskan cita-cita untuk ‘... membela bangsa Melayu yang miskin supaya dapat dipandang sebagai satu bangsa yang boleh berdiri sendiri. Sebagai satu bangsa yang berani...’ (ms.150).

7. Salih berjanji untuk ‘... menolong anak-anak Melayu yang lemah dalam Maths’ (ms.150) sebagaimana yang selalu disarankan oleh Subuh kepadanya. Bujang pula berjanji akan meneruskan cita-cita Subuh yang ‘... kuat untuk membantu orang susah, walaupun hidupku juga susah... aku akan melihat-lihat bapa kau dan adik-adik kau Subuh... Insya-Allah.’ (ms.151).

BAB 15
1. Selepas sembahyang Zuhur di Masjid Darussalam, Senja duduk termenung. Tiba-tiba, dia terdengar suara Subuh yang mengatakan, ‘Aku gembira kau telah sembahyang... aku tahu akhirnya kau akan menyembah Tuhan yang aku sembah Senja... kau telah menjadi sahabat akrabku dunia akhirat, Senja!’ (ms.152). Bulu roma Senja meremang mendengar suara Subuh tetapi Subuh meyakinkannya yang ‘... kau tidak melihat diriku, tetapi aku sentiasa di sisimu!’ (ms.153).

2. Seterusnya, suara Subuh meyakinkan Senja bahawa pemergiannya sudah takdir Tuhan dan Senja diingatkan supaya jangan malu-malu untuk bertanya Ustaz Usman atau kepada Cikgu Saerah. Yang penting, menurut Subuh, ‘... kita mesti selalu berdekatan dengan Tuhan.’ (ms.154). Mendengar suara Subuh, Senja berdoa kepada Allah SWT , ‘Ampunilah dosa temanku Subuh. Jauhkanlah dia daripada seksa kubur, seksa Munkar- Nakir. Terimalah amalan jariah Subuh dan masukkanlah dia di kalangan orang-orang salih dan ahli syurga waljannah! Amin!’ (ms.155).

3. Senja bertemu dengan Bujang dan Salih. Mereka meyakinkan satu sama lain supaya menerima pemergian Subuh sebagai takdir. Di Science Park itu, tempat bersejarah bagi mereka berempat, mereka bertiga berikrar untuk belajar bersungguh-sungguh ‘... untuk menunaikan permintaan Allahyarham Subuh, supaya kita meneruskan cita-citanya... cita-cita Subuh... kita mesti belajar bersungguh-sungguh, kita mesti bantu-membantu... kita mesti menjadi sahabat sampai mati...’ (ms.161). Senja mendengar suara Subuh yang berasa bangga mendengar janji-janji rakan-rakannya itu.

BAB 16
1. Mr. Hatta dan Cikgu Saerah ingin ke rumah Subuh untuk menyampaikan derma daripada para guru dan rakan-rakan semaktabnya. Cikgu Saerah memberitahu yang mereka telah berjaya mengumpulkan sejumlah $1,350.00 untuk diserahkan kepada Pak Mahmud. Pengetua maktab yang membuat pengumuman agar para pelajar maktab yang berhajat untuk menderma boleh menghulurkan derma mereka kepada Cikgu Saerah. Mereka juga musykil dengan sikap Mr. Rodrigues yang tidak membantah pungutan derma itu. Mr. Hatta beranggapan bahawa reaksi Mr. Rodrigues itu seolah-olah menunjukkan yang bersalah.

2. Mr. Hatta juga memberitahu yang Mr. Rodrigues memuji-muji Subuh di dalam kelasnya. Baginya, ‘... Subuh patut dicontohi pelajar-pelajar kerana Subuh pelajar yang tidak mementingkan diri sendiri. Dengan perbuatannya menolong orang, dirinya sendiri terkorban..,’ (ms.166). Mr. Hatta menyifatkan Mr. Rodrigues sebagai ‘bijak berpolitik’ dan pasti ‘ ada udang di sebalik batu.’ (ms.167).

3. Novel ini berakhir dengan perbualan para guru di maktab tersebut. Mr. Hatta memberitahu para guru seperti Cikgu Saerah dan Mr. Balasundram bahawa Mr Rodrigues, naib pengetua telah membuat pengumuman kepada semua pelajar bahawa pihak maktab telah membuat keputusan untuk meletakkan nama Subuh di atas tiga motto maktab tersebut – Kebebasan, Keadilan dan Bermutu.

4. Mr. Hatta beranggapan tindakan Mr. Rodrigues menanggapi Subuh sebagai ‘hero’ maktab mereka merupakan satu muslihat kerana Mr. Hatta yakin perkara yang sebenar masih belum terbongkar kerana baginya ‘... masih ada sesuatu yang mereka sembunyikan.’ (ms.167).

-SELESAI-
Disiapkan

Cikgu Maimoon Kamis
Unit Bahasa MelayuJabatan Bahasa Ibunda
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Disemak semula (pada Jun 2007)
Cikgu Abdul Manaf Bin Mohd Yasir
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang