15 January 2009

Monolog Kisah Cinta Hayati & Zainuddin (Safiah)

Keriuhan di sekelilingku reda dan lesap dibawa arus lamunanku. Fikiranku yang berkecamuk melayang jauh kepada Zainuddin. Zainuddin yang aku sangat cintakan. Namun, cinta tak terungkap diesebabkan hambatan dan takdir Tuhan yang terpaksa aku turuti. Apa gunanya memberontak, menentang keadaan, jika sudah pasti aku akan mengalah. Keputusan yang aku ambil terikat dengan kemahuan keluarga. Aku hanya hamba yang tidak bermaya, hampir-hampir aku tenggelam dibawa arus ombak cinta, aku pasrah.Aku pulang kembali ke realiti. Suara mereka di sekeliling mula mendesa. Hatiku berdebar-debar. Senyap. Aku harus berfikir, adakah mereka tidak mengerti ? Tidak. Kini, sudah tiada jalan keluar, aku lemah. "Bagaimana...yang akan baik kata ninik mamak saja...saya menurut!"Hatiku resah, nafasku sesak. Aku kesal dengan kata-kata yang aku ujarkan. Akan tetapi, tiada keputusan lain yang mampu aku buat. Cintaku pada Zainuddin seribu kali lebih suci berbanding kepada kesukaan aku kepada Aziz. Cinta itu lebih murni dan ikhlas, tidak tercemar sedikit pun oleh hambatan yang dialaminya. Keadaan berubah, aku yang mungkiri janjiku. Hanya satu yang tidak berubah, aku tetap cintakan kamu, Zainuddin. Maafkan aku.

Kesengsaraan yang menusuk kalbu, hanya aku saja yang mengertinya. Aku lebih rela berdiam. Apa aku peduli kalau aku isterinya ataupun tidak. Dia fikir aku ini siapa ? Ingin menuruti kemahuannya sahaja. Lebih elok jika aku berdiam, pegang pada agama, pegang kepada pendirianku dan ingatkan diri kepada Tuhan.Aku lihat perubahan dalam dirinya. Aziz mula menunjuk sikapnya yang sebenar. Ternyata benar, kisah cintanya dahulu hanya sandiwara semata-mata. Adakah benar dia sampai hati menikah diriku kerana rupaku, bukan kerana jiwa dan sanubariku. Ceraikan sahaja aku, Aziz. Biar aku melayan hati dan fikiran aku sendiri.Tidak wujud sesaat di mana aku lupakan Zainuddin, setiap detik hanyalah dia yang bertahta di hatiku. Aku rindukan Zainuddin, hatiku merayu-rayu akan kehadirannya. Aku kesepian.

- Safiah

Monolog Kisah Cinta Hayati & Zainuddin

Sememangnya aku menyedari bahawa aku tidak layak menaruh perasaan cinta kepada Zainuddin. Si Aziz, suami keparat yang hanya pandai berpura-pura, telah kembali ke Illahi. Zainuddin, cinta pertamaku, kenapa susah untuk kau melupakan masa lalu dan pulang ke pangkuanku, sayang? Apakah aku begitu hina dalam matamu? Sememangnya aku sudah menjadi janda, tetapi aku tetap Hayati yang dulu. Hayati yang tidak pernah hilang rasa cinta untukmu, Zainudin, walaupun ketika sudah bersuami. Aku menyesal telah memilih harta si Aziz. Kini, aku hanya ingin sentiasa berada di samping Zainuddin. Malangnya, Zainuddin bertega, menyuruh aku kembali ke Padang. Hanya sekian cintamu, Zainuddin, padaku.

Duduklah aku seorang diri dalam Kapal Van Der Wjick. Zainuddin memaksa aku pulang ke kampung halaman, Padang. Setelah satu hari dalam perjalanan, tenggelamlah kapal ini. Apabila aku mencelik mata, kelihatan kekasihku di samping. Aku dikelilingi dinding putih. Aku telah mendengar kata-kata doktor kepada Zainuddin. Dalam masa singkat, aku akan kembali ke Illahi, meningalkan alam fana ini, untuk selama-lamanya. Zainuddin, kenapa hanya pada saat ini kau melafaskan cintamu lagi? Sememangnya, Tuhan yang menentukan segala. Syukur, pada saat-saat terakhirku, aku masih dapat berjumpa dengan Zainuddin. Suara yang terakhir aku dengar, suara Zainuddin membisikan dua kalimah syahadat.

Monolog Daeng Habibah- TKVDW

Walaupun berat hatiku untuk menerima sang Pendekar Sutan, aku akan tetap mengahwininya. Sememangnya dia adalah pilihan ayahanda. Pilihan ayahanda adalah yang terbaik untukku.

Monolog Pendekar Sutan- TKVDW

Berikan aku harta peninggalan ibuku. Ingin aku gunakannya untuk perbelanjaan hari perkahwinanku. Jangan Mamak tolak permintanku, kerana Mamak sendiri telah mengunakan harta itu untuk mengahwinkan anakmu.

10 January 2009

Kerjaya Pilihan

Kerjaya membawa makna, pekerjaan yang dipilih untuk mencari nafkah. Kerana ini, pemilihan kerjaya merupakan aspek penting dalam kehidupan seseorang individu. Kerjaya seseorang individu menentukan corak peranannya untuk menyumbang kepada bangsa dan negara. Saya berpendapat bahawa pemilihan kerjaya mestilah selaras dengan keinginan dan minat individu. Pemilihan kerjaya yang selaras akan dapat mengurangkan dan mengelakkan daripada berlakunya pertukaran kerja atau pertukaran bidang pengajian dalam masa singkat. Seperti yang dikemukakan Ishamumudin Hj. Ismail, pemilihan kerjaya adalah satu proses berterusan bermula dari persepsi kanak-kanak terhadap pekerjaan sehinggalah ke peringkat sekolah, pengajian tinggi dan dewasa.

Saya ingin menceburi bidang perhubungan awam. Kerjaya dalam bidang tersebut memerlukan saya untuk berhubungan dengan orang lain. Untuk menceburi bidang perhubungan awam, saya memerlukan pertauliahan yang tertentu, iaitu pelancongan dan layanan baik. Jika saya dapat mempelajari bahasa-bahasa yang lain, kemahiran ini tentunya dapat membantu saya sewaktu berhubungan dengan orang lain. Mesej yang ingin saya sampaikan dapatlah diterima dengan jelas oleh individu tersebut. Sewaktu berhubungan dengan orang asing, amatlah baik jika saya dapat menjelaskan tentang sejarah Singapura juga kalau ada yang menanya. Kerana itu, saya harus cemerlang dalam jabatan bahasa dan sejarah. Dalam peringkat sekolah, saya patut aktif dalam persembahan luar sekolah untuk lebih terdedah.

Minat saya untuk berhubungan dengan individu-individu lain telah mendorong saya untuk memilih bidang perhubungan awam bagi kerjaya saya. Sejak kecil, saya telah terdedah, untuk berhadapan dengan orang lain. Sehingga kini, walaupun masih gementar, saya telah membesar, menjadi seseorang individu yang gemar berada di kalangan orang ramai. Kerjaya dalam bidang perhubungan awam dapat memuaskan minat saya ini. Kerjaya ini juga dapat membawa saya ke luar negara. Sebuah lagi minat yang amat saya gemari kerana ia juga dapat mendedahkan diri saya kepada pelbagai budaya asing.

Bidang ini dapat mendedahkan diri saya kepada pelbagai macam orang. Ia dapat membuat saya lebih sabar akan karenah manusia yang pelbagai. Pengalaman-pengalaman yang akan saya dapat sewaktu menceburi bidang ini tentunya bermanfaat. Kerjaya dalam bidang perhubungan awam juga dapat membantu merancakkan pelancongan negara. Dengan merancakkan pelancongan negara, saya dapat membantu Singapura dalam segi ekonomi. Perkara ini, secara langsung, juga dapat memanfaatkan diri saya.