23 October 2008

Karangan BML EOY Bahagian B

Karangan BML EOY Bahagian B (Soalan 5)
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang
Siti Noor Sabrina Bte Noor Alim – Men 3L1 (2008)

“Sara! Sudahlah ‘tu. Kakak juga ingin menggunakan komputer. Kakak harus membuat karangan berdasarkan kajian di lelaman web,” ujar Laila.

Sudah sepuluh kali Laila menyuruh adiknya berhenti menggunakan komputer tetapi Sara tidak menghiraukannya.

“Jika ibu dan ayah masih ada, tentu Sara akan mendengar kata mereka dan berhenti menggunakan komputer,” fikir Laila.

Akhirnya, setelah lima jam menggunakan komputer, Sara mengalah dan memberi laluan untuk Laila agar dapat menggunakan komputer. Setiap hari kedua adik-beradik itu bertengkar. Ibu dan ayah Laila telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang dari Jakarta. Kapal terbang mereka telah terhempas. Kini, Laila hanya mempunyai Sara sebagai keluarga.

Pada malam yang dingin, Sara tiba-tiba jatuh sakit. Laila menjadi sangat cemas. Dia tidak ingin kehilangan satu-satunya ahli keluarganya. Walaupun Sara tidak memberi Laila penghormatan yang sepatutnya, Laila sangat menyayangi adiknya. Laila membawa Sara ke hospital yang berdekatan.

Setelah menjalani ujian diagnostic, doktor memberitahu bahawa kedua-dua ginjal Sara dalam proses menjadi rosak. Laila pengsan mendengarnya. Setelah sedar, Laila terus menanyakan doktor jika ada jalan untuk memulihkan adik kesayangannya. Doktor menyarankan agar Sara menjalani pembedahan sebaik sahaja mendapat penderma yang sesuai. Sementara menunggu, Sara harus menjalani dialisis.

Laila merasakan beban yang teramat berat. Laila dan Sara kedua-duanya masih bersekolah. Wang yang didapati Laila daripada pekerjaan sambilannya tidak mencukupi. Mana mungkin Laila dapat menanggung perbelanjaan yang besar untuk dialisis Sara.

Tiba-tiba Laila teringat bahawa dia mempunyai jenis darah yang sama dengan Sara, darah jenis AB. Walaupun Sara, boleh menerima ginjal dari mana-mana penderma, Laila merasakan bahawa ia mungkin mengambil masa yang terlalu lama. Jika Sara harus menunggu, itu maknanya Sara harus menjalani dialisis. Laila membuat keputusan untuk mendermakan salah satu ginjalnya. Laila ingin mempertahankan nyawa adiknya yang lebih penting walaupun nyawa Laila akan terancam.

Laila sangat menyayangi adiknya. Laila tidak menghiraukan nyawanya yang ternyata terancam. Hanya satu yang difikirkan: dia ingin Sara selamat. Ada banyak lagi perkara yang belum lagi Sara lihat dan alami. Laila bergegas ke bilik doktor lalu memberitahu cadangannya. Setelah diperiksa darahnya an didapati mempunyai darah yang sama jenis, doktor menanyakan kepada Laila jika dia benar-benar ingin memberikan ginjalnya kepada Sara.

Jantung Laila berdegap-degup dengan lebih kencang. Bukankah Laila telah membuat keputusan yang muktamad. Laila hairan akan dirinya yang masih belum dapat memberikan keputusan yang muktamad. Setelah dua jam berlalu, Laila akhirnya membuat keputusan untuk memberikan salah satu ginjalnya kepada Sara, adiknya. Laila membuat keputusan yang mempertahankan nyawa adiknya walaupun nyawanya sendiri terancam.

Karangan BML EOY Bahagian A

Karangan BML EOY Bahagian A (Soalan 1)
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang
Siti Noor Sabrina Bte Noor Alim – Men 3L1 (2008)

Normila Batrisyah Binti Abdul Aziz
Blk 444, Jalan Choa Chu Kang
#02-123
Singapura 640444

22 September 2008

Pegawai Perhubungan Awam
Majlis Bandaran Holland-Bukit Panjang
Bangkit Office
Blk 256, Bangkit Road,
#01-71
Singapura 670256

Tuan

Menjaga Kebersihan Estet Perumahan

Berhubung dengan perkara di atas, saya selaku penghuni rumah pangsa di estet Choa Chu Kang ingin menyatakan keprihatinan saya terhadap insiden-insiden di mana penghuni-penghuni rumah pangsa membuang sampah sarap dan barang-barang yang tidak diperlukan di merata-rata tempat.

2 Sejak kebelakangan ini, saya mendapati bahawa terdapat banyak sampah sarap yang dibuang merata-rata tempat di estet perumahan. Sampah sarap ini kadangkala menghasilkan bau busuk yang tentunya tidak disenangi ramai.

3 Pada pendapat saya, salah satu langkah untuk mengurangkan jumlah sampah sarap yang dibuang di merata-rata tempat dengan menyediakan lebih tong sampah di kolong-kolong blok. Jika dibuat sedemikian, penghuni-penghuni rumah pangsa tersebut tidak boleh menyalahkan kekurangan tong sampah di estet perumahan.

4 Para penghuni juga didapati membuang barang-barang yang tidak diperlukan lagi di merata-rata tempat di estet perumahan. Antara barang-barang yang dibuang ialah sofa, pasu bunga, permainan-permainan bagi kanak-kanak kecil dan meja-meja

5 Pasu bunga yang dibuang itu selalunya yang sudah pecah. Ini menyebabkan tanah yang dikandungnya terkeluar dan mengkotori kolong-kolong blok. Sofa-sofa yang dibuang pula kadangkala barbau seperti kencing. Saya juga risau jika penduduk-penduduk yang sudah berumur tergelincir akibat permainan-permainan kanak-kanak. Saya menyarankan agar menyediakan sebuah lori setiap minggu untuk membawa barang-barang ini ke kilang agar dapat dikitar semula ataupun dibersihkan dan diperbaiki lalu didermakan kepada rumah-rumah anak yatim. Selain itu, pihak tuan juga boleh menyediakan satu bilik stor di kolong blok, khas untuk membuang barang-barang yang tidak diperlukan ini.

6 Saya berharap tuan dapat mempertimbangkan cadangan-cadangan saya. Kerjasama tuan amat saya hargai.

7 Sekian, terimakasih kerana mengambil waktu untuk membaca surat ini.

Yang benar,
Normila Batrisyah Binti Abdul Aziz